Jumaat, 10 Januari 2014

SICKNESS - "Necrosymphonies of Necropsy" CD


Artis: Sickness
Judul: Necrosymphonies of Necropsy
Label: Grundar Production
Tahun: 2013

SICKNESS telah berada di persada muzik berat semenjak 1995 lagi dan "Necrosymphonies of Necropsy" adalah album penuh pertama mereka, dikeluarkan oleh Grundar Production. Berasal dari Johor, SICKNESS muzik Goregrind bertemakan patologi, autopsi, medik, forensik dan seumpamanya. CARCASS adalah bandingan yang cukup dekat dengan konsep bawaan SICKNESS. "Necrosymphonies of Necropsy" memuntahkan 10 buah lagu yang mana pada hemat saya tidaklah terlalu teknikal tetapi agak agresif, berkelajuan tinggi dan menghentam terus ke muka anda! Permainan mereka berat dan padat, membunuh tanpa kompromi, mencincang dan mengisar bagai tiada perikemanusiaan! Lagu-lagu yang dipersembahkan dinaungi suasana yang mengerikan, kadangkala pelik namun menyegarkan dan pada masa yang sama amat menakutkan. Kematian seolah-olah hadir dari segenap penjuru. Bagi saya, tiada langsung kekurangan dalam aspek pengendalian instrumen, pendekatan vokal, kualiti bunyi dan produksi. Segalanya dirumus dengan baik dan sempurna. SICKNESS adalah satu nama yang seharusnya telah menggegar dunia Goregrind antarabangsa. "Necrosymphonies of Necropsy" adalah sebuah hasil karya yang cukup menyakinkan. Cakera padat ini amat berbaloi untuk dimiliki!

Senarai-Lagu:
01. Post Autopsy Decomposition
02. Cadaveric Putrefaction Necropsy
03. Pungent Reek of Incinerated Carnage
04. Congenital Carnal Abuse
05. Psychopathology
06. Urogenital Evisceration
07. Virulent Jugular Mass
08. Disgorgement of Innards
09. Endoparasitical Maggot Infestation
10. Dismemberment : A Forensic Obscurity

Sabtu, 12 Oktober 2013

BLACK SEED - "Let The Thrashing Begins!!" Demo CD


Artis: Black Seed
Judul: Let The Thrashing Begins!!
Label: Trooper Art Regime Distro
Tahun: 2013

"Let The Thrashing Begins!!" merupakan demo pertama yang dipertaruhkan oleh Black Seed kelahiran Sungai Udang, Melaka. Demo CDR ini menampilkan 4 buah lagu, salah satunya merupakan lagu saduran dari band Battalion (Thrash Metal dari Switzerland). Material ini adalah keluaran Trooper Art Regime Distro (TARD 22). Dari lambakan retro-thrash yang melanda scene negara pada hari ini, Black Seed adalah satu nama baru yang paling perlu diberi perhatian, sokongan dan dorongan! "Let The Thrashing Begins!!" pada anggapan saya adalah satu hasilkerja yang benar-benar menepati definasi dan kriteria muzik Thrash Metal. Lenggok riffing gitar yang dipamirkan dalam setiap lagu sesungguhnya mengancam, susunan melodi digarap dengan teratur, hentakan bass dan dram memang padu, bunyi yang keluar cukup bertenaga ditambah suara vokalis yang sememangnya berkuasa! Sekali lagi ingin saya tekankan, jika anda ingin menikmati muzik Thrash sejati dari generasi baru, "Let The Thrashing Begins!!" inilah sumbernya dan Black Seed itulah pencetusnya! Mereka membawa anda kembali ke suasana Thrash era 80'an. Sayangnya, produk berkualiti dan berpotensi tinggi ini tidak seiring dengan kualiti fizikal (coversleeve, cdr dan slim case) produksi Trooper Art Regime Distro yang kurang bermaya dan seakan sambil lewa. 

Senarai-Lagu:
01. Destroy Em All
02. Blood Nation
03. United For Thrash
04. Hellbangers (Battalion cover)

Selasa, 9 Julai 2013

OMEN - "Guided By The Signs" EP


Artis: Omen
Judul: Guided By The Signs
Label: Indiependent Hellish Records
Tahun: 2009

EP pertama dari Omen. Memuatkan 6 buah lagu; termasuk intro (Prologue), outro (Epilogue) dan sebuah cover dari lagenda Black Metal tempatan, Nebiras. Melalui "Guided By The Signs", Omen meletakkan diri mereka bukan pada zamannya. Mereka bukan dari kalangan band Black Metal era baru yang memperagakan sound yang bersih, ketat dan dibantu teknologi rakaman zaman terkini. Omen seolah-olah datang dari kelompok Black Metal pada tempoh 1991-1995; di mana Black Metal benar-benar underground dan tiada nilai komersial. Omen adalah jelmaan Black Metal asli, tanpa kekangan influensi dan sifat-sifat wannabe. Muzik mereka terbit sejujurnya dari dalam hati mereka. Mendengarkan EP ini langsung membawa ingatan saya kembali kepada band-band seperti Nebiras (terbukti dengan adanya tribut Omen terhadap lagu Blessed Be Thy), Aradia, Bazzah, Misanthrope, Rator, Blackfire dan seumpamanya. Omen adalah petanda, yang memandu pengembaraan saya, menuju dimensi kelam!!!

Senarai-Lagu:
01. Prologue: Guided By The Signs
02. Into Diabolical Ancientness
03. The Devil Incarnate
04. Wrath Of The Black Witchery
05. Blessed Be Thy (Nebiras cover)
06. Epilogue: The Journey Begins...

www.myspace.com/omenkelantan

OMEN - Promo 2009


Artis: Omen
Judul: Selftitled
Label: Selfreleased
Tahun: 2009

Saya memiliki beberapa rilisan Omen dalam koleksi simpanan saya, akan diulas satu-persatu. Omen telah ditubuhkan sekitar Oktober 2007 di Pasir Mas, Kelantan. Anggotanya terdiri daripada Ajjal (vokal), Nathias (gitar), Iffritt (gitar), Ea’zuud (bass) dan Ma’indjinngorka (dram). Menurut Nathias (atau nama sebenarnya Sufian, yang merupakan editor kepada Nathias 'Zine), Promo 2009 ini merupakan rilisan rasmi pertama Omen selepas 3 rilisan unofficial rehearsal yang tidak disebarkan secara meluas. Promo 2009 ini mengandungi 4 buah lagu; audio muziknya dirakam di Ly Studio, Kota Bharu manakala proses memasukkan vokal, mixing dan mastering disudahkan di Gyroscope Sound Studio, Kota Bharu. Hasil keseluruhan pada hemat saya agak mentah, kasar dan kotor. Saya percaya ini adalah bentuk sound yang dimahukan oleh Omen. Mereka menampilkan muzik Black Metal suci, sebagaimana ketulenan gelombang Black Metal awal 90an. Lagu-lagu original Omen pada track pertama dan kedua saya kategorikan sebagai fast (pantas) Black Metal pada hampir keseluruhan perjalanan lagu, di samping selingan suram dan menghanyutkan pada setengah bahagian. Lagu 'My Oath For Thee', cover dari Langsuyr dibawa dengan baik dalam suasana muzikal Omen. Saya secara peribadi mengangkat suara Ajjal (vokalis) sebagai antara yang terbaik pernah saya dengar dalam skop Black Metal Malaysia. Track ke-4 adalah sebuah gubahan ambient yang tidak kurang menarik. Saya memilih 'Into Diabolical Ancientness' sebagai lagu terbaik Omen dalam rilisan Promo 2009, struktur dan mainan yang kedengaran simple (mudah) tetapi cukup berperisa intipati kegelapannya! Hail Dark Infernal Metal!!!

Senarai-Lagu:
01. Wrath Of The Black Witchery
02. Into Diabolical Ancientness
03. My Oath For Thee (Langsuyr cover)
04. Those Within The Shadows

www.myspace.com/omenkelantan

Selasa, 18 Jun 2013

HAYAGRIVA - "Descendant XII" CD


Artis: Hayagriva
Judul: Descendant XII
Label: Khakan Productions
Tahun: 2012

"Descendant XII" membawa Hayagriva setapak melebihi apa yang telah mereka persembahkan melalui album terdahulu "Red Heaven" (2007). Saya melihat anjakan ini dari dua sudut utama; komposisi dan produksi. Hayagriva pada dasarnya mengekalkan apa yang telah mereka bawa semenjak ia dilahirkan iaitu muzikal yang disebut sebagai Dark Shadow Metal, namun jika dibandingkan dengan "Red Heaven" malah "Silverian's Art (Elegy Domain)" (1998), pembawaan Hayagriva tampak lebih simfonik, melodik dan tepatnya epik!! Keupayaan penciptaan dan penyusunan lagu dalam Hayagriva teramat dikagumi. Permainan mereka energetik. Alunan muzikal mereka adakalanya bersifat repetitif, namun tidaklah keterlaluan hingga menimbulkan rasa bosan. Ianya datang dari impak progresif dan semestinya innovatif. Kualiti produksi "Descendant XII" pula sangat tinggi, meletakkan Hayagriva pada prestijnya yang tersendiri, berdiri sama rata dengan band-band seperti Emperor dan Dissection yang terlintas dalam minda saya. Tidak terjangka mereka merakam di merata studio yang tentunya menghasilkan mutu yang pelbagai, namun kualiti akhir adunannya menghasilkan keputusan yang hebat! Kualiti bunyi memang padat! Kualiti produksi keseluruhannya memang dahsyat!! Tanpa prasangka, "Descendant XII" adalah sesuatu yang perlu ada dalam koleksi anda!

Senarai-Lagu:
01. Descendant XII [instrumental]
02. Is It Time For Me To Die ?
03. Heavenly Of Red Heaven
04. Poem Of My Return
05. Forgotten Soldiers
06. Deep Breath Before The Plunge [instrumental]
07. Unseen Planet
08. Al Masihks Magick
09. Arrivals Of The End !!!
10. Emperor Awaits
11. Supreme Deception Order [instrumental]
12. Syurga Di Hujung Jarum (SYJ/Sofea cover) [bonus]

www.myspace.com/hayagriva
www.facebook.com/myhayagriva
www.youtube.com/myhayagriva
www.reverbnation.com/hayagriva