Sabtu, 16 Mac 2013

SILENT DEATH - "The Silent Kiss of Death" CD


Artis: Silent Death
Judul: The Silent Kiss of Death
Label: Neomagik
Tahun: 2012

Maaf seandainya saya terlewat meluahkan pandangan saya terhadap buah tangan terbaru Silent Death "The Silent Kiss of Death" ini, ulasan yang dibuat selepas kembalinya saudara Stone ke rahmatullah. Al-fatihah saya sedekahkan. Bayangkanlah ini album kedua mereka selepas 20 tahun kelahiran album pertama "Before the Sunrise" (1993). "The Silent Kiss of Death" adalah gambaran perjalanan dan perjuangan Silent Death, pahit-manis dan tenggelam-timbul mereka dalam arena Metal tempatan. "The Silent Kiss of Death" menawarkan sebuah intro petikan gitar akustik dari Joe Slaughter dituruti 8 buah lagu ciptaan terbaru Silent Death, hampir kesemuanya gubahan arwah Stone. Album ini pada pandangan saya masih mengekalkan adunan irama Death-Thrash Metal bawaan Silent Death di zaman "Before the Sunrise" cuma kali ini kedengaran unsur-unsur baru yang mencorakkan lagi lontaran muzikal band legenda ini. Komposisi dan kombinasi gitar kedua-dua gitaris terletak pada tahap yang sangat baik, penghasilan solo pula begitu menarik. Sambil menggalas dan melantunkan bunyian bass, arwah Stone juga memberikan yang terbaik di bahagian vokal, diadun cantik menjadi nyawa kepada keseluruhan muzik Death-Thrash alunan Silent Death. Struktur dan variasi dram-nya juga cukup tepat, padat dan melekat. Silent Death dalam album ini didokongi oleh Stone (bass/vokal), Joe Slaughter (gitar), Ejal (gitar) dan Ian Han (dram). Suka ingin saya nyatakan bahawa produksi Silent Death kali ini lebih mantap dan matang dalam semua aspek penghasilan album. Melalui "The Silent Kiss of Death", Silent Death telah mengambil pelbagai langkah innovatif dan progresif berbanding "Before the Sunrise" terdahulu. Ianya masif yang positif. Sedihnya, terlalu terasa akan kehilangan Stone dan Pink, dua teraju utama dalam Silent Death. Tidak mengapa, itu takdir Illahi yang tiada siapa dapat menafi. Andai takdir menyebelahi, kita harapkan generasi 10 atau 20 tahun akan datang mengangkat "The Silent Kiss of Death" sebagai khazanah berharga Metal negara, sebagaimana kita hari ini memartabat "Before the Sunrise" sebagai sejarah Metal Malaysia.

Senarai-Lagu:
01. Whispering Kiss
02. Silent Kiss of Death
03. Lipas Terbang
04. Hell-Popotamus
05. Mati Senyap
06. Slaughtered Six Six Six
07. Budak Botak
08. The Curse of Latjuna
09. Diam Mati

www.facebook.com/pages/SILENT-DEATH/178894181657
www.neomagik.com

VINIIR - "The Story Chapter 1" Demo CD


Artis: Viniir
Judul: The Story Chapter 1
Label: -
Tahun: 2011

Viking Metal lazimnya dimainkan oleh orang Eropah, orang-orang di sebelah negara-negara Scandinavia terutamanya. Tetapi anda jangan terkejut dengan Demo CD berjudul "The Story Chapter 1" adalah persembahan Viking Metal dari Malaysia, dibawa oleh Viniir yang asalnya dari Ipoh, Perak. Persoalan mungkin timbul di mana terdapat keganjilan bilamana orang Melayu memainkan bentuk muzik bangsa Scandinavia dan dunia melihat kejanggalan apabila Viking Metal dimainkan oleh bangsa yang bukan sepatutnya! Pendapat saya cukup mudah, tandatanya itu sekadar persoalan. Muzik harus dilihat dari sifat universal-nya. Orang Norway boleh juga memainkan muzik tradisional kita umpamanya Zapin kalau mereka mahu. Apa salahnya kalau ada orang Melayu yang mahu menerapkan Viking Metal dalam saluran muzik mereka. "The Story Chapter 1" adalah contoh penghasilan Viking Metal acuan Melayu. Keberanian Viniir seharusnya dipuji. Dikeji hanyalah dari mereka yang tidak mampu terbuka hati. Demo keluaran sendiri ini mempertaruhkan 3 buah lagu dengan penceritaan epik dan mitos Viking yang biasa kita dengar; Thor, Odin dan sebagainya. Eksperimentasi Viniir mungkin tidak sehebat Einherjer, Ensiferum mahupun Amon Amarth akan tetapi setidak-tidaknya mereka berbekalkan sesuatu yang berbeza dan berkelainan. Irama Viking acuan Viniir agak baik dan masih melodik yang tepat pada tempatnya namun masih banyak ruang kosong yang perlu dimanfaatkan dan diperketatkan. Kemaskini dalam eksperimentasi Viniir perlu dibuat seandainya mereka mahu terus berjaya dalam material-material mereka yang akan datang! Ayuh Viniir teruskan pelayaranmu!

Senarai-Lagu:
01. Thor
02. The Story
03. Edda War

http://www.facebook.com/pages/Viniir/125442754231491

Ahad, 3 Mac 2013

SUCCUBUS - "Sadistic Rites of Evil" Demo CD


Artis: Succubus
Judul: Sadistic Rites of Evil
Label: Rotten Decay / Derangement Project Production
Tahun: 2012

Ini Demo-CD terkini dalam koleksi saya, diperolehi dari sebuah label distro tempatan. Saya membaca dan mendengar banyak kisah menarik tentang Succubus, ledakan mereka dalam memartabatkan scene Metal Malaysia. Sejak akhir-akhir ini semakin banyak band ditubuhkan untuk kembali ke aura lama Death dan Thrash Metal. Succubus tidak terkecuali. Mereka adalah band Death/Thrash Metal klasik yang berpengkalan di Lembah Klang yang perlu diberi perhatian oleh peminat-peminat muzik ekstrim tanahair. Keanggotaan mereka hasil gabungan ahli-ahli dari Astaroth, Zarquum, Amenort, Navrathos dan Nefarious Azarak. Muzik mereka ala-ala Swedish old-school Death Metal di bawah pengaruh Merciless, Unleashed dan seumpamanya. Apatah lagi lagu di susunan ke-4 (bonus) merupakan saduran dari Merciless. Saya yakin Succubus telah sedaya-upaya memberikan yang terbaik melalui demo "Sadistic Rites of Evil" ini. Bunyi keseluruhannya yang terhasil agak sebu, mungkin pasca-produksi yang separa profesional dari pihak label, atau mungkin memang disengajakan oleh pihak band agar kedengaran klasik, lama dan sentuhan 80-an. Maaf seandainya saya kurang fasih dalam meneliti dan menilai hasil produksi kejuruteraan bunyi tetapi saya tersangat-sangat terpanggil untuk memuji dan mengangkat tinggi gubahan dan garapan muzik band Succubus ini. Inilah Death/Thrash metal yang menjadi makanan utama santapan telinga saya. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata tetapi suka untuk saya nyatakan bahawa kegemilangan era awal Metal underground di negara ini sedikit-sebanyak telah dikembalikan oleh Succubus. Kalaulah "Sadistic Rites of Evil" dilahirkan sekitar awal 90-an, ia bakal menjadi antara sejarah penting Metal Malaysia sepertimana "Eternal Damnation" (Silent Death), "Eternal War" (Brain Dead), "Assassin Led by Blasphemy" (Sil Khannas) dan "Nightmare in Red" (Suffocation/Suffercation).

Senarai-Lagu:
01. Atrocius Parricide
02. Fear of Death
03. Evil Heart (Ruthless Attack)
04. The Book of Lies (bonus)

www.facebook.com/pages/Succubus-deaththrash/470098883025069
www.facebook.com/pages/Derangement-Project-Production/190253394348218