Isnin, 25 Februari 2013

CROWN OV HORNS - "Infernvs Dominatvs" CD


Artis: Crown ov Horns
Judul: Infernvs Dominatvs
Label: Evil Dead Productions
Tahun: 2011

Hari ini hati saya tergerak untuk meneroka semula dan memberi penilaian terhadap dua CD lama tersimpan dalam koleksi saya iaitu keluaran band Crown ov Horns berjudul "Ungodly Supremacy" EP 2009 dan album penuh mereka "Infernvs Dominatvs" CD 2011. Disebabkan 4 lagu terakhir dalam "Infernvs Dominatvs" adalah muatan dari EP "Ungodly Supremacy", maka saya putuskan untuk mengulas "Infernvs Dominatvs" CD 2011 sahaja. Crown ov Horns adalah sebuah band berkonsepkan Black/Death dari Kota Kinabalu, Sabah. Saya berpendapat bahawasanya "Infernvs Dominatvs" merupakan salah-satu produk tempatan yang perlu dibangga dan dijulang tinggi oleh semua penyokong muzik Metal di Malaysia ini. Kualiti dan kredibiliti Crown ov Horns samada dari segi penciptaan lagu, penataan bunyi mahupun kemahiran menyelenggara dan mengendali instrumen telah menyamai malah boleh dikatakan telah memintas penanda aras intergriti Metal antarabangsa! Maaf jika kenyataan ini keterlaluan, tetapi itulah pandangan saya terhadap Crown ov Horns melalui "Infernvs Dominatvs" ini. Jika anda kurang percaya saya sarankan anda carilah peluang untuk mendengar dan mentelaah isi kandungan CD ini. Lontaran muzik mereka dalam setiap lagu cukup mengesankan, riff-riff gitar yang penuh variasi, dentuman dram yang kedengaran dinamik, vokalnya kejam sekejam alunan lagu-lagu gubahan mereka. Produksi profesional keluaran Evil Dead Productions turut menjadikan "Infernvs Dominatvs" ini sesungguhnya sesuatu yang sangat berharga dalam era baru muzik Metal tempatan. Mahkota Bertanduk ini wajib diberi perhatian!!

Senarai-Lagu:
01. Dethrone the Emperor
02. Firestorm of Hate
03. From Dust to Oblivion
04. Warfare and Bloodshed
05. Hill of the Poisonous Trees
06. The Oriental Sun
07. Operation Searchlight
08. The Machete

www.facebook.com/crownovhorns
www.reverbnation.com/crownovhorns
www.soundcloud.com/crownovhorns
www.facebook.com/evildeadproductions

Khamis, 21 Februari 2013

DAMOKIS - "Grinding Mother Whore" CD


Artis: Damokis
Judul: Grinding Mother Whore
Label: Grundar Production / Ograsmatron Productions
Tahun: 2012

Sejujurnya ini pengalaman pertama saya bersama Damokis, band Grindcore yang berpengkalan di negeri Johor. Maaf jika sedikit yang saya ketahui tentang band ini dari sudut rilisan mahupun line-up mereka. Setahu saya band ini bermula dengan sebuah demo berjudul "Nevermind the Bastards... Here's Damokis" pada tahun 2001 dan salah seorang daripada ahli muziknya adalah orang lama dari band Grindcore yang cukup dikenali di Singapura iaitu Agigi@Bob (gitar) manakala pemain dram adalah Fauzi (dari kumpulan Narsamum). Berbalik kepada CD "Grinding Mother Whore", ianya terkandung sejumlah 17 buah lagu dengan durasi keseluruhan hanya 30 minit. Bayangkanlah setiap lagu purata hanya sekitar 1 hingga 2 minit sahaja. Kisaran muzikal Damokis dalam album ini cukup kasar, kebisingan yang membingitkan, mengundang keterujaan dan kegilaan tahap maksima! Saya kurang pasti dengan material-material mereka sebelum ini, perkiraan saya "Grinding Mother Whore" adalah Grindcore yang asli di samping suntikan Death Metal atau Brutal Death yang sedikit-sebanyak mewarnakan lagi corak muzik Damokis ini. Saya tidak teragak-agak untuk mencadangkan CD ini sesuatu yang semestinya anda miliki. 

Senarai-Lagu:
01. Return of the Goldilocks
02. Crime Watch
03. To Know U is to Kill U
04. Fundamentalists
05. Strengthen the Weakness
06. Highway Chaser
07. Grinding Motherwhore
08. Lantai Enam
09. Habitat for Humanity
10. Zeal in Obedience
11. Proclaim the Victory
12. Doomed to Stay, Stay Infested
13. Night of the Ultimate Dracula
14. Goldilocks Strikes Back
15. That's Hell
16. Decomposed
17. Brutal Existence (radio edit)

www.facebook.com/jbgrinder
www.myspace.com/damokis
damokis.blogspot.com
www.facebook.com/grundarproduction
www.facebook.com/Ogras666

Khamis, 14 Februari 2013

AJAL - "Jahannarakah" CD


Artis: Ajal
Judul: Jahannarakah
Label: MTD Production / Eastern Voice Production
Tahun: 2012

Kelahiran "Jahannarakah" adalah susulan terbaik dari Ajal sejak Demo 2010 yang berjudul "Ajal Tiba Bila Seruan Menjelma". Diterbitkan secara bersama oleh MTD Production dan Eastern Voice Production, CD ini menghimpunkan sebanyak 7 buah lagu termasuklah sebuah intro. Muzik Ajal adalah muzik yang dinamakan sebagai Raw Eastern Black Metal, di mana dapat kita dengari sound yang mentah, kasar serta terselit terma-terma ketimuran samada dari segi muzikal mahupun lirikal, sebagaiman yang pernah dilakukan oleh kumpulan-kumpulan seperti As-Sahar, Langsuyr, Mistik, Zubirun dan sebagainya. Mendengarkan keseluruhan persembahan "Jahannarakah", saya percaya yang kaedah rakaman langsung (live recordings) telah digunakan oleh Ajal dalam dalam menzahirkan album ini. Dengan kaedah sebegini ia mungkin memperlihatkan permainan muzik Ajal agak kurang ketat dan tidak terlalu padat tetapi ia bukan sesuatu yang asing buat gegendang telinga saya. Saya menghargai usaha Ajal kerana mereka sudah ada sesuatu yang baik untuk ditawarkan, cuma di masa hadapan harapnya daya-usaha dan kesungguhan mereka akan dapat dijawab dengan penghasilan yang lebih cemerlang. 

Senarai-Lagu:
01. Jampi Makhluk Halus
02. Messiah Palsu
03. Perjuangan Jihad
04. Jahannarakah
05. Sujaul Aqra
06. Amukan Keris Pusaka
07. Suara dari Kubur

www.facebook.com/Ajal666
www.myspace.com/ajaldajal

Selasa, 5 Februari 2013

HUMILIATION - "From Strength To Strength" CD


Artis: Humiliation
Judul: From Strength To Strength
Label: Ultra Hingax Production
Tahun: 2012

Selepas beberapa material iaitu "Face The Disaster" (2009), "Dawn Of Warfare" (2010), "Brink Of Defeat" (2011) dan "Seek To Survive" (2011) (Editor: Insya-Allah saya akan cuba rebiu di kemudian hari), Humiliation kembali dengan buah tangan terbaru berjudul "From Strength To Strength" mengadungi 11 buah lagu (termasuk intro) yang tetap kekal dengan gaya old-school Death Metal. Suka saya ingin nyatakan bahawa inilah Death Metal dalam ertikata yang sebenar! "From Strength To Strength" mempersembahkan irama Death Metal yang asli, klasik, simple, mid-tempo, tanpa kongkongan permainan teknikal dan kelajuan yang berserabut dan berterabur. Sejak awal material mereka saya jatuh cinta dengan muzik Death Metal acuan Humiliation walaupun ramai yang kata mereka sedikit-sebanyak meniru Bolt Thrower dan Benediction. Album ini yang merupakan album ketiga Humiliation juga membuktikan mereka setia dengan apa yanh telah mereka mulakan, selain dari muzik Death Metal yang memikat dan melekat, tema mereka juga masih berkisarkan ketenteraan, peperangan dan kemanusiaan. "From Strength To Strength" adalah suatu makanan yang sangat enak, lazat dimakan siang dan malam. Sesungguhnya Death Metal sebegini adalah juadah extreme metal yang tidak menjemukan. Tak tau lah kalau anda sememangnya kemaruk Brutal Death yang bercelaru dan lintang-pukang tiada arah, hahahaa…

Senarai-Lagu:
01. Set The Fire
02. Days Of Terror
03. Artillery Open Fire
04. Counter Offensive
05. Blind Bomb
06. Nassau
07. Preposition Of Violence
08. Fastkill
09. Manifesto Of Lie
10. Struggle Of Wills
11. Bukit Kepong

www.humiliation.my
humiliationband@gmail.com