Isnin, 29 April 2013

ASPIRASI - Bulan Black Metal Hutan


Kerja luar agak memenatkan. Sepanjang April aku menghabiskan masa berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Kuala Lipis, bersampan menyusuri Sungai Tembeling menuju Kuala Tahan, 4-5 hari di Taman Negara Malaysia. Ada tugasan yang perlu aku lakukan, atas nama sebuah kerjaya! Begitulah rutin sepanjang April, pergi balik berulang-alik setiap minggu sepanjang April..

Sedikit informasi tentang Taman Negara Malaysia: Taman Negara adalah Kawasan Perlindungan rasmi yang pertama dan tertua di negara ini dan pada waktu dahulu dikenali sebagai King George V National Park. Taman negara ini yang diisytiharkan secara rasminya oleh Sultan Kelantan, Pahang dan Terengganu (sewaktu sambutan Jubli Perak King George) diwartakan bagi memelihara alam semulajadi kawasan ini. Taman ini dinamakan Taman Negara setelah negara mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957. Aktiviti paling popular di Taman Negara ialah bersampan di sungai dan meneroka laluan trek hutan. Laluan Kanopi yang tedapat di sini juga sungguh menarik bagi memberikan pelawat pemandangan jarak dekat aktiviti haiwan dan tumbuhan di bahagian kanopi hutan yang tinggi. Pondok pemerhatian juga disediakan bagi keselesaan pelawat untuk memerhati hidupan liar di sini. Pondok kecil yang dibina tinggi dari atas tanah membolehkan pelawat bermalam bagi memerhati hidupan liar di dalam habitat semulajadinya. Pelawat juga boleh meneroka gua sama ada menggunakan bot atau pun berjalan kaki. Taman Negara adalah sebuah hutan hujan yang tertua di dunia yang dianggarkan berusia 130 juta tahun. Kekayaan dan kepelbagaian hidupan semulajadi di sini sangat menakjubkan dan menjadikannya salah satu eko-sistem yang paling rumit dan kaya di dunia. - ms.wikipedia.org/wiki/Taman_Negara

Okay, aku bukan nak penuhkan catatan peribadi ni dengan cerita-cerita pasal Taman Negara Malaysia, tugasan dan kerjaya aku. Ia berada jauh di luar ruang-lingkup BAWAHTANAH, hahaha! Sepanjang April tiada langsung artikel yang aku tulis untuk dimuatkan dalam BawahTanah. Komitmen, kesibukan dan kepenatan Kerja Luar (outstation) kurang memberi ruang untuk aku menulis. Hanya Car CD Player (sewaktu dalam kenderaan) dan Portable CD Player (semasa di penginapan) setia berkhidmat untuk diriku melayani muzik-muzik Metal kegemaranku. April ini bulan bertemankan hutan, bersaksikan rimba belantara. Suasana Metal dalam diri dan pendengaranku turut terpengaruh; gelap, kelam, seram dan acapkali mengerikan. Berikut playlist aku untuk Bulan Black Metal Hutan:

01. RATOR - Possessed CD 2008
02. BLACKFIRE - Lahir Dari Api CD 2006
03. BLACKFIRE - The Hereafter Live CD 2007
04. NEFTARAKA - Morts CD 2012
05. CLAW - Negativity Through Solitude CD 2012
06. SUFFERCATION - Day of Darkness (The Re-awakening) CD 2010
07. SIL KHANNAZ - Conception of Madness CD 1993
08. OMEN - Promo CD 2009
09. OMEN - Manifestation of the Black Sign Demo CD 2010
10. DARKTHRONE - A Blaze in the Northern Sky CD 1993
11. DARKTHRONE - Under a Funeral Moon CD 1994
12. DARKTHRONE - Transilvanian Hunger CD 1995
13. ARADIA - Draconis Eulogy CD 2010
14. IMPERIAL - Transcendent Salvation CD 2012
15. NUCLEAR STRIKES - Megastorm Eyes EP CD 2011
16. SILENT DEATH - The Silent Kiss of Death CD 2012
17. IMPIETY - Skullfucking Armageddon CD 1999

Lihatlah betapa hitamnya playlist aku untuk April ini, sebagaimana kelamnya hutan Taman Negara yang aku jelajahi hampir sepanjang April ini. Mei nanti aku akan cuba mengulas beberapa material band tempatan yang menjadi teman layanan Metal aku di Bulan Black Metal Hutan ini. Sekian. Terima Kasih.

Sabtu, 16 Mac 2013

SILENT DEATH - "The Silent Kiss of Death" CD


Artis: Silent Death
Judul: The Silent Kiss of Death
Label: Neomagik
Tahun: 2012

Maaf seandainya saya terlewat meluahkan pandangan saya terhadap buah tangan terbaru Silent Death "The Silent Kiss of Death" ini, ulasan yang dibuat selepas kembalinya saudara Stone ke rahmatullah. Al-fatihah saya sedekahkan. Bayangkanlah ini album kedua mereka selepas 20 tahun kelahiran album pertama "Before the Sunrise" (1993). "The Silent Kiss of Death" adalah gambaran perjalanan dan perjuangan Silent Death, pahit-manis dan tenggelam-timbul mereka dalam arena Metal tempatan. "The Silent Kiss of Death" menawarkan sebuah intro petikan gitar akustik dari Joe Slaughter dituruti 8 buah lagu ciptaan terbaru Silent Death, hampir kesemuanya gubahan arwah Stone. Album ini pada pandangan saya masih mengekalkan adunan irama Death-Thrash Metal bawaan Silent Death di zaman "Before the Sunrise" cuma kali ini kedengaran unsur-unsur baru yang mencorakkan lagi lontaran muzikal band legenda ini. Komposisi dan kombinasi gitar kedua-dua gitaris terletak pada tahap yang sangat baik, penghasilan solo pula begitu menarik. Sambil menggalas dan melantunkan bunyian bass, arwah Stone juga memberikan yang terbaik di bahagian vokal, diadun cantik menjadi nyawa kepada keseluruhan muzik Death-Thrash alunan Silent Death. Struktur dan variasi dram-nya juga cukup tepat, padat dan melekat. Silent Death dalam album ini didokongi oleh Stone (bass/vokal), Joe Slaughter (gitar), Ejal (gitar) dan Ian Han (dram). Suka ingin saya nyatakan bahawa produksi Silent Death kali ini lebih mantap dan matang dalam semua aspek penghasilan album. Melalui "The Silent Kiss of Death", Silent Death telah mengambil pelbagai langkah innovatif dan progresif berbanding "Before the Sunrise" terdahulu. Ianya masif yang positif. Sedihnya, terlalu terasa akan kehilangan Stone dan Pink, dua teraju utama dalam Silent Death. Tidak mengapa, itu takdir Illahi yang tiada siapa dapat menafi. Andai takdir menyebelahi, kita harapkan generasi 10 atau 20 tahun akan datang mengangkat "The Silent Kiss of Death" sebagai khazanah berharga Metal negara, sebagaimana kita hari ini memartabat "Before the Sunrise" sebagai sejarah Metal Malaysia.

Senarai-Lagu:
01. Whispering Kiss
02. Silent Kiss of Death
03. Lipas Terbang
04. Hell-Popotamus
05. Mati Senyap
06. Slaughtered Six Six Six
07. Budak Botak
08. The Curse of Latjuna
09. Diam Mati

www.facebook.com/pages/SILENT-DEATH/178894181657
www.neomagik.com

VINIIR - "The Story Chapter 1" Demo CD


Artis: Viniir
Judul: The Story Chapter 1
Label: -
Tahun: 2011

Viking Metal lazimnya dimainkan oleh orang Eropah, orang-orang di sebelah negara-negara Scandinavia terutamanya. Tetapi anda jangan terkejut dengan Demo CD berjudul "The Story Chapter 1" adalah persembahan Viking Metal dari Malaysia, dibawa oleh Viniir yang asalnya dari Ipoh, Perak. Persoalan mungkin timbul di mana terdapat keganjilan bilamana orang Melayu memainkan bentuk muzik bangsa Scandinavia dan dunia melihat kejanggalan apabila Viking Metal dimainkan oleh bangsa yang bukan sepatutnya! Pendapat saya cukup mudah, tandatanya itu sekadar persoalan. Muzik harus dilihat dari sifat universal-nya. Orang Norway boleh juga memainkan muzik tradisional kita umpamanya Zapin kalau mereka mahu. Apa salahnya kalau ada orang Melayu yang mahu menerapkan Viking Metal dalam saluran muzik mereka. "The Story Chapter 1" adalah contoh penghasilan Viking Metal acuan Melayu. Keberanian Viniir seharusnya dipuji. Dikeji hanyalah dari mereka yang tidak mampu terbuka hati. Demo keluaran sendiri ini mempertaruhkan 3 buah lagu dengan penceritaan epik dan mitos Viking yang biasa kita dengar; Thor, Odin dan sebagainya. Eksperimentasi Viniir mungkin tidak sehebat Einherjer, Ensiferum mahupun Amon Amarth akan tetapi setidak-tidaknya mereka berbekalkan sesuatu yang berbeza dan berkelainan. Irama Viking acuan Viniir agak baik dan masih melodik yang tepat pada tempatnya namun masih banyak ruang kosong yang perlu dimanfaatkan dan diperketatkan. Kemaskini dalam eksperimentasi Viniir perlu dibuat seandainya mereka mahu terus berjaya dalam material-material mereka yang akan datang! Ayuh Viniir teruskan pelayaranmu!

Senarai-Lagu:
01. Thor
02. The Story
03. Edda War

http://www.facebook.com/pages/Viniir/125442754231491

Ahad, 3 Mac 2013

SUCCUBUS - "Sadistic Rites of Evil" Demo CD


Artis: Succubus
Judul: Sadistic Rites of Evil
Label: Rotten Decay / Derangement Project Production
Tahun: 2012

Ini Demo-CD terkini dalam koleksi saya, diperolehi dari sebuah label distro tempatan. Saya membaca dan mendengar banyak kisah menarik tentang Succubus, ledakan mereka dalam memartabatkan scene Metal Malaysia. Sejak akhir-akhir ini semakin banyak band ditubuhkan untuk kembali ke aura lama Death dan Thrash Metal. Succubus tidak terkecuali. Mereka adalah band Death/Thrash Metal klasik yang berpengkalan di Lembah Klang yang perlu diberi perhatian oleh peminat-peminat muzik ekstrim tanahair. Keanggotaan mereka hasil gabungan ahli-ahli dari Astaroth, Zarquum, Amenort, Navrathos dan Nefarious Azarak. Muzik mereka ala-ala Swedish old-school Death Metal di bawah pengaruh Merciless, Unleashed dan seumpamanya. Apatah lagi lagu di susunan ke-4 (bonus) merupakan saduran dari Merciless. Saya yakin Succubus telah sedaya-upaya memberikan yang terbaik melalui demo "Sadistic Rites of Evil" ini. Bunyi keseluruhannya yang terhasil agak sebu, mungkin pasca-produksi yang separa profesional dari pihak label, atau mungkin memang disengajakan oleh pihak band agar kedengaran klasik, lama dan sentuhan 80-an. Maaf seandainya saya kurang fasih dalam meneliti dan menilai hasil produksi kejuruteraan bunyi tetapi saya tersangat-sangat terpanggil untuk memuji dan mengangkat tinggi gubahan dan garapan muzik band Succubus ini. Inilah Death/Thrash metal yang menjadi makanan utama santapan telinga saya. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata tetapi suka untuk saya nyatakan bahawa kegemilangan era awal Metal underground di negara ini sedikit-sebanyak telah dikembalikan oleh Succubus. Kalaulah "Sadistic Rites of Evil" dilahirkan sekitar awal 90-an, ia bakal menjadi antara sejarah penting Metal Malaysia sepertimana "Eternal Damnation" (Silent Death), "Eternal War" (Brain Dead), "Assassin Led by Blasphemy" (Sil Khannas) dan "Nightmare in Red" (Suffocation/Suffercation).

Senarai-Lagu:
01. Atrocius Parricide
02. Fear of Death
03. Evil Heart (Ruthless Attack)
04. The Book of Lies (bonus)

www.facebook.com/pages/Succubus-deaththrash/470098883025069
www.facebook.com/pages/Derangement-Project-Production/190253394348218

Isnin, 25 Februari 2013

CROWN OV HORNS - "Infernvs Dominatvs" CD


Artis: Crown ov Horns
Judul: Infernvs Dominatvs
Label: Evil Dead Productions
Tahun: 2011

Hari ini hati saya tergerak untuk meneroka semula dan memberi penilaian terhadap dua CD lama tersimpan dalam koleksi saya iaitu keluaran band Crown ov Horns berjudul "Ungodly Supremacy" EP 2009 dan album penuh mereka "Infernvs Dominatvs" CD 2011. Disebabkan 4 lagu terakhir dalam "Infernvs Dominatvs" adalah muatan dari EP "Ungodly Supremacy", maka saya putuskan untuk mengulas "Infernvs Dominatvs" CD 2011 sahaja. Crown ov Horns adalah sebuah band berkonsepkan Black/Death dari Kota Kinabalu, Sabah. Saya berpendapat bahawasanya "Infernvs Dominatvs" merupakan salah-satu produk tempatan yang perlu dibangga dan dijulang tinggi oleh semua penyokong muzik Metal di Malaysia ini. Kualiti dan kredibiliti Crown ov Horns samada dari segi penciptaan lagu, penataan bunyi mahupun kemahiran menyelenggara dan mengendali instrumen telah menyamai malah boleh dikatakan telah memintas penanda aras intergriti Metal antarabangsa! Maaf jika kenyataan ini keterlaluan, tetapi itulah pandangan saya terhadap Crown ov Horns melalui "Infernvs Dominatvs" ini. Jika anda kurang percaya saya sarankan anda carilah peluang untuk mendengar dan mentelaah isi kandungan CD ini. Lontaran muzik mereka dalam setiap lagu cukup mengesankan, riff-riff gitar yang penuh variasi, dentuman dram yang kedengaran dinamik, vokalnya kejam sekejam alunan lagu-lagu gubahan mereka. Produksi profesional keluaran Evil Dead Productions turut menjadikan "Infernvs Dominatvs" ini sesungguhnya sesuatu yang sangat berharga dalam era baru muzik Metal tempatan. Mahkota Bertanduk ini wajib diberi perhatian!!

Senarai-Lagu:
01. Dethrone the Emperor
02. Firestorm of Hate
03. From Dust to Oblivion
04. Warfare and Bloodshed
05. Hill of the Poisonous Trees
06. The Oriental Sun
07. Operation Searchlight
08. The Machete

www.facebook.com/crownovhorns
www.reverbnation.com/crownovhorns
www.soundcloud.com/crownovhorns
www.facebook.com/evildeadproductions